Tuesday, July 8, 2014

warKAh perPisaHaN daTo dr. aLiah @ MaMPu


WARKAH PERPISAHAN DAN TITIPAN PENGHARGAAN BUAT SEMUA

Assalamualaikum, salam sejahtera dan salam kegemilangan.

YBhg. Datuk / Datuk Wira / Dato'/ Datin / YBrs. Dr. / Tuan / Puan,

Tiap pertemuan pasti ada perpisahan
Itu adat, itu lumrah kehidupan
Begitulah rentetan perjalanan
Walau sukar untuk ditelan
Tapi kaki tetap mengorak jalan
Selagi hayat dikandung badan
Hidup adalah perubahan
Tak tau bagaimana lajunya putaran
Tapi roda selalu berputaran.

Dalam setiap perjalanan kita merantai kisah
suka duka 
tangis tawa
Kita banyak berkongsi cabaran dan rintangan
kadang-kaadang kita tak sehaluan
Tapi lebih banyak kita bergandingan tangan

Izinkan saya mengambil sedikit masa dan perhatian untuk menyatakan penghargaan kepada sahabat-sahabat yang sehingga kini bersama-sama saya dalam usaha kita memartabatkan perkhidmatan ICT Sektor Awam. Sebagai makluman semua, pada tanggal 6 Julai 2014, adalah merupakan hari terakhir saya diberi penghormatan untuk berkhidmat sebagai penjawat awam. Selepas ini saya akan mengorak langkah ke persekitaran baharu sebagai pesara kerajaan.

Dengan perasaan berat hati saya melabuhkan tirai perkhidmatan setelah 36 tahun melakari  alam perkhidmatan awam khususnya perkhidmatan ICT. Bermula sebagai Juruanalisa Rangka di Jabatan Statistik pada tahun 1978 sehinggalah sebagai Timbalan Ketua Pengarah (ICT) di MAMPU hari ini, pelbagai pengalaman pahit manis telah dilalui dan diharungi dan ia akan sentiasa tersemat di sanubari. 

Di kesempatan ini juga, saya dengan penuh takzim dan ikhlas ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada semua para CIO Sektor Awam, Pengurus IT Sektor Awam, dan para Personel ICT di atas kerjasama dan sokongan padu yang telah diberikan. Sesungguhnya kecemerlangan dan kegemilangan perkhidmatan ICT Sektor Awam tidak akan dapat dipertingkatkan tanpa sumbangan dan sokongan padu daripada kalian semua.

Ucapan terima kasih secara khususnya juga saya panjangkan kepada YBhg. Datuk Wira Omar Kaseh , Ketua Pengarah MAMPU, YBrs. Dr. Aizi Razman Ismail, TKP(PT), YBrs. Encik Wan Rosdi Wan Dolah, Ketua Perunding (Teknikal ) Sektor Awam, YBrs. Dr. Mohamad Zainuddi Mat Taib, Ketua Perunding (Strategis) Sektor Awam, Perunding-Perunding ICT Sektor Awam, Pengarah-pengarah Bahagian di MAMPU, seluruh warga Sektor ICT, seterusnya semua warga MAMPU di atas segala tunjuk ajar, kerjasama, nasihat, bantuan dan sokongan moral yang dihulurkan semasa saya berkhidmat di MAMPU selama 14 tahun. Diharapkan sepanjang tempoh kita bersama ini sedikit sebanyak dapat menyumbang kepada kemajuan kerjaya masing-masing dalam usaha kita memartabatkan inisiatif pemodenan perkhidmatan awam. Sesungguhnya kalian semua akan sentiasa dekat di hati.

Setinggi-tinggi penghargaan juga saya titipkan di sini kepada ahli-ahli Panel CIO Sektor Awam serta warga Pejabat GCIO di MAMPU di atas kerjasama, panduan dan perkongsian idea yang diberikan semasa saya memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Maklumat Kerajaan (GCIO) dari tahun 2009. Saya amat berharap supaya pemantapan tadbir urus CIO Sektor Awam akan terus diperhebatkan lagi di masa akan datang.

Once a colleague, but always a friend
May our new found friendship never end

Once a co-worker, but always a mate
May we be sealed together by our fate

Once an associate, but always a chum
You kept my work life from being humdrum

Saya dengan rendah hati ingin memohon ampun dan maaf di atas sebarang kesilapan dan keterlanjuran tindakan mahupun bahasa yang telah menyinggung perasaan dan hati sesiapa sahaja sepanjang kita bersama. Mohon dihalalkan segala ilmu, panduan, pengajaran, pengalaman, makan dan minum selama ini.

Pergi ke dusun memetik kelapa
Kelapa muda si kelapa bali
Jari di susun Maaf di pinta
Panjang usia bersua kembali

Akhir kata, semoga perhubungan kita tidak berakhir di sini, ukhuwah kita terus berpanjangan dan sama-samalah kita membawa kecemerlangan kepada negara. Semoga bersua lagi.

Salam Ramadhan Al Mubarak

Ikhlas,

( NOR ALIAH MOHD ZAHRI )
4 Julai 2014