Selalu bergurau, buat lawak dan ketawa bersama
Hasil kajian dari Economic and Social Research Councils’ Festival of Social Science pada tahun 2011 mengatakan dengan bergurau bersama anak-anak dapat membantu mereka dalam hubungan sesama manusia. Apabila ibu-bapa bergurau bersama anak-anak, diselangi dengan ketawa mereka, rasa sungguh bahagia.
Sentiasa bersabar dan berfikiran positif
Ibu-bapa jangan sesekali meluahkan perasaan marah atau negatif pada anak-anak. Apabila mereka dilayan dengan kasar, minda mereka akan diracuni dengan perihal negatif. Tambahan lagi, jika mereka mengalami layanan kasar yang sama ketika berada di rumah pengasuh. Seawal umur 5 tahun, anak boleh jadi agresif. Ia akan tersimpan dan menjadi-jadi apabila dewasa.
Tanamkan sifat bersimpati pada orang lain
Tidak bermakna tidak bersimpati pada diri sendiri. Namun, terapkan rasa simpati atas kesusahan orang lain. Jika nampak ada orang minta sedekah, ajar anak erti kesusahan. Berikan mereka setidak-tidaknya RM1 untuk disedekahkan. Mungkin nilai material tidak besar, tetapi ia akan memberi kesan jangka panjang yang amat mendalam.
Biarkan anak berdikari
Bukan ibu-bapa tidak sayang. Setidak-tidaknya, kita lihat mereka berusaha dengan kudrat sendiri. Jika berjalan-jalan di luar, cuba biarkan anak beli makanan sendiri. Kita perhatikan dari jauh sahaja.
Elakkan bergaduh di hadapan anak
Ini penting. Jangan bergaduh, memaki-hamun dan mencaci pasangan di hadapan anak. Ia akan memberikan kesan psikologi yang cukup hebat. Anak akan rasa runsing, tidak tenteram dan emosi tidak stabil. Kalau nak gaduh, sila masuk dalam bilik tidur. Silap-silap boleh dapat anak lagi satu.
Jaga kesihatan, elakkan tekanan
‘Stress’ cukup sinonim pada zaman sekarang. Mungkin sebab kerja di pejabat, mungkin juga sebab kerja-kerja rumah. Ubat tahan sakit bagaikan makanan harian pula. Ibu-bapa kena faham, bila mereka tertekan, anak juga terasa tempiasnya. Ini kerana mereka akan rasa layanan yang berlainan.
Ayah lebihkan masa dengan anak perempuan, ibu lebihkan masa dengan anak lelaki
Ini bukan sekadar soal jantina semata-mata. Ia adalah lebih kepada kemesraan. Selalunya, apabila anak semakin membesar, mereka masih lagi inginkan pelukan dan ciuman dari ibu-bapa sendiri. Walaupun selalu anak lebih rapat dengan ibu, mereka juga mahukan layanan istimewa dari ayah. Ini baru seimbang.
Biarkan anak ‘melawan’
Bukan dalam erti kata ‘melawan’ dengan kurang ajar. Namun biarkan anak mempertahankan pendapat mereka sendiri. Ada kalanya, anak-anak rasa dia betul, namun sebaliknya, mereka belum cukup matang. Sebagai ibu-bapa, biarkan anak meluahkan rasa hati dan hujah mereka. Dengar dan fahamkan. Bukan bermakna kita setuju, tetapi sekadar memberi peluang mereka berkata-kata.
Usah berharap kepada anak yang sempurna
Semua ibu-bapa mahu anak yang ‘perfect’ atau sempurna serba-serbi. Namun, tidak semestinya kita dianugerahkan anak yang sebegitu. Jika mereka tidak berapa bagus pencapaian di sekolah, dekatilah anak dengan kasih sayang. Jangan marah-marah bagaikan tiada hari esok. Mungkin itu sahaja tahap yang mereka boleh pergi. Dengan kata yang lain, ibu-bapa kena cuba menerima hakikat yang anak mereka tidak seperti yang diharapkan. Terimalah mereka seadanya.
Fahami kehendak anak
Semua orang rasa mereka lebih tahu cara mendidik anak. Namun, tidak semua anak berperangai sama. Mungkin ada yang sesuai dengan anak sulung, tetapi tidak pada anak kedua. Oleh kerana itu, penuhi kehendak anak yang berlainan. Bukan bermakna manjakan mereka dengan apa yang mereka pinta, tetapi lebih kepada penghargaan. Penyelidik bernama Liliana Lengua dari University of Washington mengatakan ibu-bapa perlu menyokong kehendak anak berdasarkan permintaaan mereka. Kalau anak mahukan basikal, tentu dia akan berkata “Seronoknya tengok Amir (nama samaran) tu main basikal kan ayah. Macam best je”. Ia tidak secara terus, tetapi lebih kepada satu ‘signal’. Ibu-bapa kena cepat tangkap maksud tersirat sebegini.