gud to share :-
Benarlah kata orang-orang tua kita, “Melentur buluh biarlah daripada rebungnya...”. Anak-anak, perlulah kita mendidik mereka sejak dari kecil lagi, bahkan sesetengah orang mula mendidik anak sejak dari dalam kandungan lagi.
Tanggungjawab ini memang sesuatu yang sangat besar bagi kita ibu bapa apabila mempunyai anak, terutamanya apabila berkaitan dengan soal ibadat seperti solat.
Bagaimana kita boleh mendidik anak kecil solat?
Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud dan al-Hakim daripada Amir bin Syuaib, Rasulullah SAW bersabda:
Suruhlah anak-anakmu mengerjakan solat apabila mereka sudah berumur tujuh tahun dan pukullah mereka yang meninggalkannya apabila umur mereka sudah sampai 10 tahun dan pisahkan tempat tidur mereka
Memang menjadi cabaran buat kita untuk mendidik anak kecil solat pada waktu sekarang kerana banyak godaan lain yang lebih menarik perhatian mereka seperti Televisyen dan Ipad.
Tapi kita sebagai ibubapa tidak boleh berputus asa dalam memastikan anak kita untuk mula solat sejak dari kecil. Anak-anak kecil hati mereka masih lembut lagi dan masih senang untuk membentuk mereka menjadi muslim yang taat.
Namun kaedah mendidik anak kecil solat ini haruslah mempunyai perancangan dan dilaksanakan secara bertahap.
1. Contoh dari Ibu Bapa
Ibu bapa adalah insan terdekat dengan anak sejak dilahirkan. Oleh itu ibu bapalah sebagai model terbaik kepada anak-anak untuk memulakan sesuatu perkara. Ibu bapa yang bersolat pasti mampu merangsang anak-anak rajin bersolat. Sebaliknya ibu bapa yang liat atau tidak solat maka anak-anak berkemungkinan akan mengikuti jejak langkah yang sama.
Lakukanlah di tempat terbuka yang anak mereka dapat menyaksikan perbuatan kedua-dua ibu bapanya. Jika sejak kecil mereka melihat ibu bapa mereka sentiasa melakukan solat, In sya-Allah jiwa anak kecil ini akan mudah tertarik dan menuju ke arah melakukan ketaatan bersolat yang menjadi tiang agama.
Jika anak-anak bermain-main semasa kita solat, janganlah dimarahi.
Namun, pastikan anak-anak kita suci dari najis sebelum kita solat supaya tidak terbatal solat kita terkena najis mereka. Nasihatilah mereka dari hari ke hari dengan penuh hikmah dan lemah lembut.
Jangan sesekali berkata kepada anak : “Pergi main jauh-jauh, ayah nak solat.” Kata-kata demikian dibimbangi akan menjadikan anak-anak menganggap bahawa solat itu mengganggu hubungan mereka dengan ibu bapa mereka.
2. Solat secara berjemaah
Ikhtiarkan supaya dapat bersolat secara berjemaah bersama-sama sekurang-kurangnya satu waktu sehari. Boleh juga membawa anak-anak ke surau atau masjid bermula dari mereka masih kecil supaya mereka terbiasa dengan suasana beribadah. Pupuk rasa cintakan pada masjid dan majlis-majlis ilmu disana.
Jika berjemaah di rumah, selepas solat, zikir dan doa, ambillah masa lima minit untuk berikan tazkirah pendek pada anak-anak tentang agamanya. Ingatkan mereka tentang kewajipan solat dan ancaman dosa. Nyatakan harapan anda supaya mereka menjaga solat, secara lemah lembut dan berhikmah.
3. Belikan pakaian solat kepada anak kecil
Sediakan tudung kecil yang cantik untuk anak perempuan, kopiah atau songkok untuk anak lelaki. Pakaikan mereka dengannya dan katakan kepadanya “Wah! Cantiknya adik pakai tudung untuk solat.”
Mungkin mereka hanya memakainya tidak sampai satu minit, tapi tidak mengapa, senyum sahaja kepada mereka. Ulangi perbuatan ini sehinggalah mereka sendiri yang meminta tudung atau songkok apabila kita mengajak mereka untuk solat.
4. Menghargai dan memberi Pujian selepas mereka solat
Berikan pelukan dan ciuman yang paling hangat kepada mereka jika mereka mengikut kita solat bersama-sama. Tidak kisahlah walau berapa rakat sekali pun.
Kadang kala, mereka hanya mengangkat takbir kemudian melompat dan pergi bermain, walau sekecil mana perbuatan mereka mengikut kita solat, berikan kata penghargaan seperti : ”Solehnya anak ibu hari ni, adik ikut ibu solat!”
5. Paling Penting, ISTIQAMAH!
Inilah perkara yang paling penting dalam mendidik anak kecil supaya mula bersolat, iaitu ibu bapa itu sendiri perlu ISTIQAMAH. Kadang-kadang kita berasa penat untuk mengajak anak supaya bersiap dan solat bersama-sama, terutamanya anak kecil yang nakal dan sukar dikawal.
Jangan mudah mengalah! Diam sebentar, tarik nafas dan tekadkan hati untuk kembali mengajak anak bersolat. Anggap sahaja ini satu jihad untuk agama. In syaa Allah, usaha kita tidak akan sia-sia.
Jika kita biarkan dia meninggalkan solat walaupun sekali, anak-anak akan merasakan tidak bersalah jika meninggalkan solat. Sentiasa bercerita tentang ganjaran syurga yang dikurniakan kepada orang-orang yang menjaga solat. Ceritakan juga kepada mereka tentang peranan syaitan yang akan mendatangkan rasa malas untuk solat. Jadi kita kena lawan!
Jika anak bertanya kepada ibu kenapa tidak solat semasa haid, beritahu perkara sebenar, jangan pula katakan kepadanya "ibu sakit perut". Nanti dia fikir, kalau sakit perut tak payah solat... Haru dibuatnya!
Penutup:
Amalkan doa dari ayat 40 Surah Ibrahim yang bermaksud ;
“Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikian jugalah zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
Mudah-mudahan anak-anak akan menjadi saham yang terbaik buat kita di akhirat kelak.
http://tudungsicomel.com/mendidik-anak-kecil-solat/