Wednesday, June 24, 2009

benTuK aKHlaK AnaK...


Dunia tanpa sempadan menuntut komitmen yang luar biasa terhadap kehidupan. Jika dulu, tugas ibu cukup dengan mengawasi anak di depan mata, tahu di mana tidurnya, bagaimana makannya, elokkah pakaiannya dan siapa temannya. Tetapi hari ini, ada satu dunia lain yang dihuni oleh anak tanpa disedari si ibu. Inilah dikatakan 'alam maya', sekecil-kecil anak pun tahu merentasinya tanpa berbekalkan wang sesen pun, cukup dengan jari jemari yang tahu menari. Sama ada alam maya menjadikan anak orang yang lebih berilmu atau sebaliknya bergantung kepada kesediaan si ibu mencari ilmu menghadapi tanggungjawab memimpin rumah tangga dalam dunia serba mencabar kini.
Semua ibu pasti merasakan tanggungjawab membesarkan anak jauh lebih sukar daripada mencari rezeki, makan dan pakai buat mereka. Apatah lagi seorang ibu yang turut berkerja dan dalam masa yang sama membimbing cahaya mata yang dianugerahkan Ilahi.
Sudah pastilah masa yang diperuntukkan berganda banyaknya, tenaga diperah tidak terhingga, tetapi semuanya kerana tanggungjawab yang perlu dilaksana, jadi ibu yang mulia tidak akan terasa penat dan lelahnya apabila melihat anak-anak semuanya berjaya. Setiap ibu sedar dan mengerti suruhan agama, tahu tanggungjawab sedang dipikul dan kesan buruknya jika ia tidak ditunaikan untuk memastikan amanah Allah yang lahir dari rahimnya memulakan kehidupan di dunia dengan baik dan berakhir dengan baik.
Bahkan anak-anak lahir daripada benih seorang bapa dan ibu yang bertakwa serta takutkan Allah yang berjaya dididik mengikut landasan agama akan menyelamatkan ibu bapanya daripada api neraka hanya dengan doa mereka. Sudah tentulah setiap ibu ingin menyelamatkan anak-anak daripada api neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu. Tiada ibu yang tergamak menjadikan anaknya arang membara membakar manusia, tetapi hasrat dan nekad itu tidak akan menjadi jaminan tanpa usaha membimbing mereka mentaati suruhan Allah serta menjauhi larangan-Nya.
Jika seorang ayah adalah pemimpin bagi sebuah keluarga, ibu pula pemimpin kepada rumah tangga. Rumah tangga adalah satu naungan yang di dalamnya ada satu ikatan antara dua hati berkasih sayang kerana Allah, menjadi tempat perlindungan, musyawarah, saling mengasihani dan berbudi. Jika ayah menjadi ketua yang wajib dihormati, dipatuhi dan mengetuai segala urusan membabitkan ahli rumah tangga, si ibu pula memimpin sistem di dalamnya untuk memastikan ahli taat dan setia kepada pemimpin keluarga. Tidak semudah berjanji, memimpin rumah tangga memerlukan daya tahan yang tinggi, teguh berdiri di belakang ketua keluarga yang bertanggungjawab atas segala tindak tanduk ahlinya.
Setiap ibu yang berjaya menjadikan anak mereka orang salih dan baik budi pekerti sudah tentulah bermula dengan cara dibentuk mengikut acuan agama. Ia seawal mendedahkan anak dengan kisah nabi dan sahabat Baginda SAW yang tidak terkira banyaknya.
- titipan khas dari blog rakan lain -