Sunday, June 23, 2013

nisFU sYaaBaN 2013

Hari ini hari terakhir bulan Rejab dan esok bermulalah bulan Syaaban. Seperti bulan Rejab, bulan Syaaban juga mempunyai kelebihan,keistimewaan dan kebaikannya yang tersendiri. Kalau bulan Rejab adalah bulan Allah, bulan Syaaban pula adalah bulan Rasulullah dan bulan Ramadhan pula bulan umatnya. Kalau bulan Rejab istimewa dengan Israk Mikraj manakala bulan Syaaban pula istimewa dengan Nisfu Syaaban. Bulan Syaaban ialah bulan menghapuskan dosa dan bulan Ramadhan ialah bulan menyucikan diri dari dosa. 

Bulan Syaaban juga merupakan bulan untuk kita mengejar kebaikan bagi persediaan menghadapi Ramadhan. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Keutamaan bulan Syaaban di atas semua bulan itu, seperti keutamaan aku di atas semua Nabi dan keutamaan bulan Ramadhan itu di atas semua bulan ibarat keutamaan Allah SWT di atas semua hamba-Nya”. 

Pada malam Nisfu Syaaban ditekankan agar umat Islam melakukan solat sunat Tahajjud dan solat sunat Taubat kerana pada malam ini ialah malam terbaik untuk meminta pengampunan dan rahmat daripada Allah. 

Antara kebaikan dan kelebihan beribadat dalam bulan Syaaban ialah: 
1).  Barang siapa berpuasa tiga hari pada awal bulan Syaaban, tiga hari pada pertengahan, dan tiga hari pada akhir bulan Syaaban akan mendapat pahala seperti 70 orang nabi, dan seperti orang beribadah 70 tahun dan sekiranya dia mati pada tahun itu, matinya seperti mati syahid.

2).  Doa orang-orang yang beriman akan dimakbulkan. Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud: "Dalam solat lima waktu yang doanya tidak ditolak ialah semasa malam Jumaat, pada malam 10 Muharram, pada malam pertengahan bulan Syaaban dan pada dua malam raya, iaitu malam hari raya Aidilfitri dan Aidiladha." (Riwayat: Abdullah Umar) 

3).  Mohonlah keampunan pada malam Nisfu Syaaban kerana pada malam itu pintu-pintu langit dan pintu-pintu rahmat dibuka. Sabda Rasulullah s.a.w: "Apabila tiba malam nisfu Syaaban, telah datang malaikat Jibril lalu berkata, pada malam ini , pintu-pintu langit dan pintu-pintu rahmat dibuka. Maka dirikanlah solat dan pohonlah doa, sesungguhnya pada malam itu telah dibuka 300 pintu rahmat. Maka Allah mengampuni orang-orang yang tidak menyekutuiNya kecuali ahli sihir dan dukun, orang yang bermusuhan, peminum arak, pezina, orang yang memakan riba’, orang yang derhaka kepada ibubapanya, orang yang suka mengadu domba atau batu api, dan orang yang memutuskan persaudaraan. Sesungguhnya mereka itu tidak akan diampun sehinggalah mereka benar-benar bertaubat dan tidak akan mengulanginya."

Antara Peristiwa di Bulan Sya’ban

1. Malam Nisfu Sya’ban pada 14 Sya’ban.Keagungan malam Nisfu Sya’ban seumpama keagungan Rejab dengan malam Isra’  Mikrajnya dan keagungan Ramadhan dengan Lailatul Qadarnya.
2. Berlaku penukaran qiblat dari Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis ke Kaabah di Masjidil Haram, Mekah pada 15 Sya’ban.
3. Berlaku peperangan Bani Mustalik pada bulan Sya’ban tahun kelima hijrah. Kemenangan berpihak kepada Islam
4. Perang Badar yang terakhir pada tahun keempat Hijrah.

Bacaan Yaasin Pada Malam Nisfu Sya’ban

Pada malm Nisfu Sya’ban, disunatkan membaca Surah Yaasin sebanyak tiga kali berturut-turut dengan niat doa yang berbeza-beza sebagaimana berikut :
1. Bacaan Yaasin yang pertama memohon supaya Allah SWT memanjangkan umur di dalam ketaatan kepadaNya dan sentiasa beramal soleh.
2. Bacaan kali kedua memohon supaya di tolak segala bala’ dan bencana yang bakal menimpa.
3. Bacaan kali ketiga memohon supaya kita tidak berhajat melainkan kepada Allah SWT dan memohon supaya dimurahkan rezeki yang halal.

insyaAllah...