Hormati Waktu Guru
Ada satu malam, adik aku tengah pening waktu buat homework. Nak kena salin kertas yang mana satu. Bila ditanya, adik aku kata tak ingat yang mana nak kena salin.
Kebetulan ayah ada dekat situ. Dalam kepala aku, tindakannya hanya dua, mungkin perlu tanya cikgu balik esok tanpa siapkan dulu kerja. Atau mungkin mesej cikgu tanya yang mana nak kena buat.
Ternyata tekaan aku salah. Ayah bagitahu pada adik,
"Salin DUA DUA muka surat. Itu salah kita yang tidak cakna apa guru cakap dalam kelas."
Aku agak terkejut. Ya, didikan ayah masih sama dari zaman aku hinggalah adik yang paling bongsu.
Ayah aku paling pantang nak tanya guru semata-mata sebab anak dia. Apatah lagi ganggu waktu rehat guru. Kerana bagi ayah aku, BUKAN ANAKNYA sahaja yang guru kena jaga. Masih ramai pelajar yang memerlukan perhatian guru.
Tahap ayah aku jaga adab ni, dia marah kalau ada stokin diletak dekat dengan rak buku. Kata dia, yang berada pada kaki seharusnya diletak jauh dari sumber ilmu. Nanti hilang berkat. Bayangkan masa arwah atuk aku hidup, ayah aku tak pernah duduk atas tilam atuk. Aku yang dengar cerita tu pun tiba-tiba rasa bersalah bila mengenangkan adab aku yang entah apa apa.
Siapa pun ayah aku dari dulu sampai sekarang, ayatnya tetap sama pada guru-guru.
"Cikgu rotanlah anak saya kalau perlu."
Aku buat benda yang sama pada adik aku bila dia minta aku mesej guru pada waktu malam. Dia nak tanya perlu bawa apa untuk hari pertandingan bola jaring keesokan harinya.
Aku bagitau adik aku tak perlu mesej cikgu, tengok jadual kelas, kalau pertandingan petang, jadi bawa buku waktu pagi. Kalau tak belajar tak apa, pahala tetap dapat sebab kesungguhan kita dengan ilmu.
Akhlak ayah aku dengan guru-guru inilah aku tengok aku dan adik-adik aku ramai yang berjaya. Kami tidak banyak masa nak menelaah buku dengan ibubapa, tetapi Allah bagi kejayaan dan keberkatan.
Alhamdulillah, aku di peringkat Masters, yang nombor dua dah habis diploma di IPTS, yang ketiga degree di IPTA, yang keempat Matrik (result hari tu first class) dan yang terakhir kelima keenam sekolah menengah dan perform dalam akademik dan ada yang sampai berdebat ke peringkat kebangsaan. Yang bongsu hari tu straight A UPKK. Dan aku target 2 orang adik aku akan ke overseas jika Allah izinkan. Kalau ada rezeki PhD aku pun plan ke overseas juga. InsyaAllah jika Allah izinkan.
Riaknya. Bukan nak bagitahu bab kejayaan, tetapi nak tekankan akhlak dan adab ibubapa sangat menjamin kejayaan anak-anaknya. Aku sudah lihat buktinya daripada akhlak ibubapa aku sendiri.
Ibubapa jika mahu marahkan guru, aku rasa guru yang layak dimarahi ialah guru yang tidak beradab kerana ianya adalah hak mutlak ibubapa untuk memilih siapa guru kepada anak-anak mereka.
Tetapi jika tidak bersetuju dengan guru yang mahu ajarkan akhlak pada anak-anak, aku nasihatkan kalianlah yang menjadi guru untuk anak-anak kalian. Itu lebih baik. Lebih selamat. Lebih terjaga. Kerana itulah yang setiap ibubapa mahukan.
Aku bukan nak marah. Tetapi aku sangat kecewa zaman teknologi yang sepatutnya memudahkan tapi sebenarnya semakin membebankan guru. Baik hidup di zaman nenek moyang kita dulu. Adab dijaga. Menjadikan guru semakin ikhlas untuk mendidik.
Sembanglah nak cakap bab hormat waktu guru. Ibubapa pun kerja. Penat juga. Kerana itulah fungsi anak-anak dihantar ke sekolah. Supaya bila dia balik, dia tahu kerja apa untuk dibuat. Itulah namanya disiplin. Tiada disiplin yang senang. Kalau ingin mudah, gunalah cara home schooling. Bagi aku itu lebih baik.
Biarlah anak kita susah sikit. Itulah proses tarbiyah. Kalau proses tarbiyah itu mudah, aku yakin pasti tidak ada yang menentang dakwah Nabi Muhammad kerana mudah untuk menerima tarbiyah. Tetapi Allah menjadikan tarbiyah itu proses yang panjang dan perlukan kesabaran.
Maaf, post kali ini antara yang terpanjang pernah aku tulis. Aku tulis catatan ini bukan kerana aku seorang guru, tetapi aku ingin katakan bahawa guru juga manusia. Manusia yang bertungkus lumus berjuang untuk anak bangsa tanpa kenal lelah. Kalau tidak masuk kelas, guru akan siapkan rekod-rekod yang lain.
Dari bekerja sebagai private tutor sehinggalah sebagai seorang guru, aku berani katakan menghasilkan pelajar yang pintar lebih mudah daripada pelajar yang berakhlak. Itulah yang aku perjuangkan di sekolah aku. AKHLAK. Hasil didikan dari rumah aku sendiri. Air tangan ibubapa aku sendiri. Tarbiyah guru-guru aku sendiri.
Menghormati waktu rehat saudara kita juga adalah sebahagian daripada manifestasi akhlak. Ya, AKHLAK. Itulah yang kita hilang sekarang.
Semoga Allah menemukan kembali akhlak yang hilang ini.